Kehidupan awal Gavrilo_Princip

Princip dilahirkan di Obljaj, sebuah desa yang berhampiran dengan Bosansko Grahovo, Bosnia dan Herzegovina, kepada seorang posmen. Ibu bapanya, Petar dan Marija Nana Mičić, mempunyai sembilan orang anak, iaitu lima orang anak lelaki dan empat orang anak perempuan. Enam daripada anak-anak mereka meninggal dunia ketika masih kanak-kanak. Kesihatan Princip juga tidak baik. Dari masa awal lagi, dia menghidap batuk kering. Ini kemudian menjadi sebab kematiannya pada tahun 1918, dan juga merupakan salah satu sebab mengapa Princip membunuh Archduke Ferdinand.

Kebanyakan ahli sejarah bersetuju bahawa Princip adalah ahli Pemuda Bosnia (Млада Босна/Mlada Bosna), tetapi ada juga yang menegaskan bahawa dia sebenarnya adalah ahli Tangan Hitam (Црна рука/Crna ruka), atau sekurang-kurangnya dilatih oleh kumpulan itu. Gerakan Pemuda Bosnia adalah sebuah kumpulan yang terdiri daripada orang-orang Serbia, Croatia, dan Muslim Bosnia yang mengabdikan diri mereka kepada kemerdekaan orang-orang Slavik Selatan daripada penguasaan Austria-Hungary.

Pada Februari 1912, Princip mengambil bahagian dalam tunjuk-tunjuk perasaan untuk membantah pihak berkuasa Sarajevo. Disebabkan penyertaannya itu, Princip dibuang sekolah. Menyusul pembuangan ini, dia pergi ke Belgrade. Semasa menyeberangi sempadan, dia mencium tanah Serbia. Di Belgrade, Princip mencuba menyertai Gimnasium Belgrade Pertama, tetapi gagal dalam peperiksaan kemasukannya.

Pada tahun 1912, Serbia sedang sibuk dengan pengerahan untuk Perang Balkan Pertama. Princip berhasrat untuk menyertai komite, angkatan tentera gerila bukan tetap di bawah Vojislav Tankosic, seorang mejar Serbia yang pernah bertempur dengan unit-unit Turki Uthmaniyyah di Macedonia. Tankosic ialah seorang ahli jawatankuasa pusat untuk kongsi gelap Penyatuan atau Kematian (Ujedinjenje ili Smrt). Bagaimanapun, Princip ditolak oleh komite di Belgrade kerana dia rendah dan kecil. Dia kemudian pergi ke Prokuplje di Serbia Selatan untuk mencari Tankosic. Bagaimanapun, Tankosic juga menolaknya kerana dia "terlalu kecil dan terlalu lemah". Princip kemudian berazam untuk mengimbangi saiznya yang tidak sempurna serta penganggaran kurang terhadap keupayaannya. Dedijer memperdebatkan bahawa penolakannya itu merupakan "salah satu niat peribadi yang utama yang mendorongnya untuk membuat sesuatu yang amat berani dan luar biasa supaya dapat membuktikan kepada orang-orang lain bahawa dia adalah sebanding dengan mereka."